Berfirman Allah SWT yang bermaksud :
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepadamu?
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk bersilaturahim hanya kepada mereka yang bersilaturahim denganmu?
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk berbicara hanya kepada mereka yang berbicara denganmu?
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk memberi makan hanya kepada mereka yang memberi makan kepadamu?
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk memuliakan hanya kepada mereka yang memuliakanmu?
Wahai orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan apa yang kamu sendiri tidak amalkan?
Wahai orang yang beriman, kenapa kamu menegah orang lain apa yang kamu sendiri melakukannya?
Wahai orang yang beriman, berapa banyak kamu menyuruh orang lain sedangkan kamu tidak mengamalkannya?
Wahai orang yang beriman, berapa banyak kamu mengumpulkan apa – apa yang kamu tidak makan?
Wahai orang yang beriman, berapa banyak taubat yang ditangguhkan dari sehari ke sehari, kemudian dari setahun ke setahun, kemudian untuk apa kamu menunggu? Adakah kamu telah selamat daripada mati?
Adakah kamu telah terlepas
daripada neraka dan telah terjaminkah keselamatan dengan mendapat
syurga?
Adakah antara kamu dan Tuhan terjamin rahmat?
Wahai anak
Adam, kepada siapa engkau mengadu sedangkan Aku ialah tempat mengadu
bagimu. Hingga bilakah engkau mahu melupai-Ku sedangkan Aku tidak
menerima itu daripada kamu?
Wahai anak
Adam, hingga bilakah engkau mahu kufurkan kepada-Ku sedangkan Aku tidak
menzalimimu?
Hingga bilakah engkau mengingkari nikmat – nikmat-Ku,
hingga bilakah engkau mahu meringan – ringankan kitab-Ku sedangkan Aku
tidak menyuruh apa – apa yang engkau tidak mampu membuatnya?
Wahai anak
Adam, hingga bilakah kamu membenci Aku? Sampai bilakah kamu
mengingkari-Ku sedang tiada Tuhan bagimu selain Aku? Dan apabila engkau
sakit, maka doktor manakah yang menyembuhkan kamu, kalau bukan Aku?
Wahai anak
Adam, bagaimana mungkin kamu tersangat ingin kepada ibadah sedangkan
kamu berserta dengan perut yang kenyang? Bagaimana engkau akan mencintai
Allah sedangkan engkau mencintai harta?
Bagaimanakah kamu tersangat
ingin mendapatkan hati yang terang sedang kamu banyak tidur?
Wahai anak
Adam, bagaimanakah kamu akan takut kepada Allah, kerana yang kamu takut
ialah kefakiran?
Bagaimanakah kamu ingin mendapatkan warak sedangkan
kamu tamak terhadap dunia? Bagaimanakah kamu akan mendapatkan keredhaan
Allah, sedangkan kamu tidak mencintai orang miskin?
Wahai anak
Adam, bagaimanakah kamu tamak dengan keredhaan, sedangkan kamu berserta
kebakhilan?
Bagaimanakah kamu tamak terhadap syurga sedangkan kamu
berserta dengan hati yang mencintai dunia dan pujian? Bagaimanakah kamu ingin kebahagiaan abadi di akhirat sedangkan kamu serta ilmu yang sedikit?
Wahai
manusia, dengan rezeki daripada-Ku jua engkau kuat melakukan maksiat
kepada-Ku. Denga kehendak daripada-Ku engkau menginginkan sesuatu.
Dengan kehendak daripada-Ku engkau mahukan sesuatu untuk dirimu. Dengan
nikmat-Ku engkau berdiri, duduk dan beristirehat. Dengan pemeliharaan-Ku
engkau berpetang – petang dan berpagi – pagi. Dengan nikmat-Ku engkau
berbolak – balik. Dengan afiat daripada-Ku engkau bercantik – cantik
tetapi kemudiannya kau melupai-Ku dan mengingati selain daripada-Ku.
Maka kenapa kamu tidak menunaikan hak-Ku dan berterima kasih kepada-Ku?
Wahai anak
Adam, adakah engkau melakukan maksiat kepada-Ku lalu mengingati
kemurkaan-Ku? Adakah engkau berhenti daripada apa – apa yang Aku tegah
ke atasmu? Adakah engkau menunaikan kewajipan kepada-Ku seperti yang Aku
amanahkan kepadamu?
Wahai anak
Adam, adakah engkau membantu orang miskin dengan hartamu? Adakah engkau
melakukan kebaikan kepada siapa yang berbuat jahat kepadamu?
Wahai anak Adam, adakah engkau memaafkan siapa yang menzalimimu?
Wahai anak Adam, adakah engkau menghubungi siapa yang memutuskan hubungan denganmu?
Wahai anak
Adam, adakah engkau berlaku adil kepada siapa yang khianatimu? Adakah
engkau berbicara dengan siapa yang menjaujimu? Adakah engkau mengajar
anakmu? Adakah engkau merelai jiranmu?
Adakah engkau bertanya kepada
ulama terhadap urusan agama dan duniamu?
Wahai anak Adam, bilamana Allah telah menjaminkan rezekimu, mengapakah panjang keresahanmu?
Wahai anak Adam, bilamana Allah telah menyediakan gantian (atas sedekahmu) mengapakah kamu bakhil?
Wahai anak Adam, bilamana Iblis ialah musuh bagi Allah, bagaimana kamu boleh lupa tentang itu?
Wahai anak Adam, bilamana balasan nanti ialah neraka, mengapakah kamu istirehat?
Wahai anak Adam, bilamana ganjaran Allah itu ialah syurga, mengapakah kamu melakukan maksiat?
Wahai anak Adam, bilamana setiap sesuatu itu adalah di bawah ketentuan-Ku, mengapakah kamu tidak sabar dan berdukacita?
Wahai anak
Adam, apabila engkau tergolong dalam golongan pemerintah yang memasuki
neraka kerana kejahatannya, orang Arab disebabkan kemaksiatannya,
para ulama disebabkan hasadnya, peniaga disebabkan khianatnya, ahli
ibadah kerana riyaknya dan yang memasuki neraka kerana kejahilannya,
orang kaya kerana sombongnya dan orang miskin kerana penipuannya, maka
siapakah sebenarnya yang inginkan syurga?
Wahai anak
Adam, harta itu milik-Ku, engkau ialah hamba-Ku dan tetamu itu
utusan-Ku. Apakah kamu tidak takut kalau Aku mencabut nikmat –
nikmat-Ku? Rezeki itu ialah rezeki-Ku manakala kesyukuran itu bagimu.
Manfaatnya akan kembali kepadamu juga. Kenapa engkau tidak memuji-Ku
atas apa yang Aku berikan kepadamu?
Wahai anak
Adam, apabila engkau inginkan rezeki, Aku berikan rezeki tersebut
kepada engkau. Maka nafkahkanlah jangan bakhil dengan rezeki terhadap
hamba – hamba-Ku. Sesungguhnya Aku telah menjaminkan bagimu gantian dan
Aku janjikan bagimu ganjaran, maka kenapa kamu masih sangsi terhadap
kitab-Ku?
Wahai anak
Adam, berapa banyak orang – orang kaya mengharapkan akan fakir pada
hari dia dihisab? Berapa banyak orang gagah yang dihina oleh sebab
kematiannya? Berapa banyak kemanisan menjadi pahit? Berapa banyak
kegembiraan dengan kenikmatannya, disengsarakan baginya kematian? Berapa
banyak kesukaran yang mewarisi kedukacitaan yang panjang?
Wahai anak
Adam, sekiranya tidak ditentukan bagi engkau melainkan hanya kematian
dan kedahsyatannya sahaja maka telah wajiblah bagi engkau tidak merasa
tenang waktu siang dan malam. Bagaimanakah keadaannya apa yang sesudah
kematian itu lebih dahsyat lagi?
Wahai anak
Adam, bagaimanakah kamu menanggung satu – satu urusan yang tidak
ditakdirkan bagimu dan tidak pula kamu mengetahuinya sepertilah engkau
tidak mengambil ganjaran bagi amalan – amalan yang tidak engkau
kerjakan?
Wahai anak
Adam, sesiapa yang jalannya ialah kematian bagaimana boleh bergembira
terhadap dunia? Sesiapa yang rumahnya ialah kubur, bagaimana boleh
merasa senang dengan rumahnya di atas dunia?
[Sumber : U-TURN KE JALAN LURUS & Kitab Imam al-Ghazali, al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah]
Soalan daripada saya buat diri juga semua:
"Wahai anak Adam, manusia, orang yang beriman, dan hamba Allah SWT, apakah jawapan serta alasanmu kepada Tuhanmu?"
~ artikel ini admin ambil dari blog sahabat setia kami, Nasiruddin Mohd ( http://mnasiruddinbamir.blogspot.com/ ). Semoga kita semua dapat memanfaatkan ilmu yang dikongsi Saudara Nasiruddin =)
No comments:
Post a Comment